Friday, 23 September 2011

PEMIKIRAN KITA

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua pembaca eizil.com
Semoga dikurniakan kesihatan dan keceriaan di dalam kehidupan seharian. Dalam kehidupan seharian kita, sedar atau tanpa sedar kita akan sentiasa berfikir mengenai pelbagai perkara, dari kewangan, kesihatan, perhubungan sesama insan, pekerjaan, masalah keluarga, percutian dan pelbagai lagi. Semua ini sudah menjadi lumrah di dalam kehidupan. Kita akan berfikir dan terus berfikir dan itu menandakan otak kita masih sihat kerana kita masih berfikir. Orang yang tidak berfikir, akan melakukan semua perkara tanpa usul periksa dan kemungkinan akan mendatangkan masalah kepada beliau kelak.
Pernah suatu masa dahulu, terdetik di hati ini. Aku ingin berjaya, aku ingin mempunyai syarikat yang besar, aku ingin itu, aku ingin ini. Tetapi ianya sekadar di dalam hati dan perasaan, selepas itu aku tidak menggunakannya untuk menjadikan pemangkin untuk aku mendapatkannya. Sebenarnya kita adalah apa yang kita fikirkan. Jika kita ingin berjaya, kita fikir bagaimana untuk berjaya, apa langkah yang perlu diambil, dan kita akan berusaha ke arah apa yang kita fikirkan. Itulah sepatutnya.
Perkara yang biasanya berlaku, kita akan mengatakan(berfikir) kepada diri sendiri “dah nasib aku untuk jadi begini, apa boleh buat”. Menyalahkan nasib, takdir dan sebagainya. Pemikiran yang terlalu negatif yang tidak akan membawa kita ke mana-mana. Sepatutnya kita berkata kepada diri sendiri “Dah lama aku begini, tetapi aku boleh mengubah nasibku ini”. Apabila kita sering memikirkan semua benda dalam sudut yang lebih positif, tiada yang tidak mampu kita lakukan. Keupayaan yang terhasil dari semangat yang positif ini adalah sangat besar, walaupun acapkali kita akan tidak dapat melihatnya secara terus, tetapi ianya pasti akan memberikan kesan yang positif juga.
Marilah kita mengubah bagaimana kita berfikir saban hari, secara perlahan-lahan jika tidak mampu secara terus, kita cuba berfikir dengan lebih positif, keceriaan yang kita terima daripada pemikiran yang positif ini akan membuatkan orang di sekeliling kita juga terasa tempias kepositifan kita itu. Suasana akan bertambah bersemangat dan selesa. Bila kata-kata, pemikiran dan segala yang kita lakukan dalam sudut yang lebih positif, ianya menjadi doa untuk kita dan orang sekeliling. Seringkali kita mendoakan kebaikan, pasti kebaikan akan muncul suatu masa nanti.
Semoga hari kita akan lebih positif hari ini.

No comments:

Post a Comment