Wednesday, 31 August 2011

PILIHLAH YAG TERBAIK

Semalam, saya ada menerima satu pertanyaan dari Formspringme.com. Ada hamba Allah ini menanyakan soalan kepada saya iaitu "I hate my life, You?"
Saya hanya tersenyum apabila membaca soalan ini. Saya pantas membalas pertanyaan sebentar tadi. "I love my life and I live my life."
Dalam masa itu, saya berfikir, mengapa perlu seseorang membenci kehidupannya? Hanya kerana kehidupannya tidak seindah yang diimpikan, hanya kerana kehidupannya sentiasa ditemani awan mendung maka terus mengambil jalan mudah.
Membenci setiap situasi yang hadir menganggu hidupnya, tidak mengambil inisiatif untuk mencari kebahagiaan, kemudian hidup dalam penuh kekecewaan lalu berputus asa dengan setiap perkara. Tiada pilihan lainkah?
Pada saya, sebenarnya kita mempunyai PILIHAN. Pilihan untuk BAHAGIA ataupun untuk SENGSARA.
Saya memberi contoh diri saya sendiri, ramai kenalan dan sahabat yang menyatakan bahawa saya seorang yang bertuah kerana apa sahaja yang saya ingini, saya dapat. Kehidupan saya juga nampak menggembirakan.
Secara jujurnya, saya ingin katakan. Walaupun saya dapat apa yang saya inginkan, misalnya menyambung pengajian dalam bidang yang saya inginkan selama ini, sebenarnya sebelum itu saya telah menemui awan mendung dahulu.
Awan mendung itulah yang telah membawa kepada siapa saya pada hari ini, awan mendung itulah yang telah mencorak saya menjadi matahari dan kemudian timbul sinaran pelangi yang indah.
Adakalanya pelangi tidak timbul, namun saya berusaha untuk mencari pelangi. Kerana apa? Kerana saya telah membuat pilihan untuk bahagia. Saya telah memilih untuk bahagia.
Anda bayangkan, suatu hari, anda meredah hutan untuk menikmati keindahan alam semulajadi bersama beberapa orang sahabat baik anda. Destinasi anda adalah sebuah air terjun semulajadi yang cantik dan terpelihara.
Sebelum sampai ke air terjun berkenaan, anda dan sahabat-sahabat anda melalui denai hutan untuk ke sebuah air terjun. Dalam perjalanan anda dan sahabat-sahabat anda berhenti untuk mengambil beberapa gambar keindahan flora dan fauna.
Anda telah menjumpai beberapa spesis flora yang indah, yang anda tidak akan jumpa di tempat tinggal anda. Anda menjumpai bunga Rafflesia, dan CLICK ! Anda menangkap gambar bunga itu. "Ohh, camni rupanya bunga Rafflesia! Besar dan unik!"
Dalam anda kaget melihat bunga Rafflesia, tiba-tiba salah seorang sahabat anda menjerit memanggil nama anda. Anda berlari ke arah suara sahabat anda. Sahabat-sahabat anda yang lain juga turut berlari menuruti anda.
Setibanya anda pada sahabat anda yang menjerit tadi, anda berhenti kerana terkejut, anda melihat sahabat anda sedang berhadapan dengan lima ekor musang berwarna hitam yang sangat besar.
Sahabat-sahabat anda yang lain yang menuruti anda sebentar tadi telah lari menyelamatkan diri masing-masing. 'Tak guna punya member!'
Sahabat anda yang dalam kesusahan itu merayu untuk diselamatkan. Dia menangis dan terketar-ketar. Anda memang hendak tolong dia, tapi anda keseorangan.
Tenaga anda tidak cukup untuk melawan lima ekor musang hitam yang besar lagi bengis itu. Apa anda hendak buat?
Anda sedang berfikir untuk meninggalkan sahabat anda yang sedang dalam ketakutan itu dan lari selamatkan diri anda sendiri. Dalam pada masa yang sama, anda kasihankan dia dan jika anda lari, anda akan mengkhianati dia sebagai seorang sahabat.
Anda juga akan sama taraf dengan sahabat-sahabat anda yang pentingkan keselamatan diri sendiri sahaja, yang lari menyelamatkan diri masing-masing.
Sememangnya situasi ini menguji persahabatan dan keselamatan anda dan sahabat anda. Anda dalam konflik.
Teriakan dan tangisan sahabat anda semakin menjadi-jadi, anda semakin cemas kerana tidak pasti jalan mana yang harus anda pilih. Lari atau bantu sahabat anda, dalam situasi tegang ini.. tiba-tiba pandangan mata anda terlihat sebatang sungai dan di tebing sungai itu ada banyak batu.
Secara automatiknya anda berlari ke arah sungai dan mengutip sebanyak mungkin batu sungai yang ada. Batu kecil, besar, semua anda sapu.
Kemudian anda berlari sepenuh hati ke arah kawanan musang bengis itu lalu dengan penuh keyakinan (buat-buat berani), anda mencampakkan batu-batu itu sekuat kudrat anda ke arah kawanan musang bengis itu. Mulanya anda tidak berjaya mencampakkan batu-batu itu ke arah mereka. Mereka juga melawan.
Dalam pertarungan anda melawan musang-musang bengis, anda telah berjaya melakukan balingan tepat ke arah lima-lima ekor musang bengis itu. Seekor demi seekor musang bengis tumbang. Tiga ekor pengsan manakala dua ekor lagi berlari ke arah denai hutan.
Anda gembira kerana berjaya menewaskan musang-musang bengis tadi. Terasa satu bebanan hilang begitu sahaja, anda rasa kembali bebas dan tiada rantai merantai anda lagi. Dalam kegembiraan anda, sahabat anda yang dalam ketakutan tadi jatuh pengsan.
Anda menyedarkan dia dengan memercikkan air sungai ke atas muka dia. Sementelah sahabat anda tersedar dari pengsan, dia mengucapkan terima kasih kepada anda dan memuji keberanian dan kesetiaan anda.
Jelasnya di sini, sebenarnya dalam hidup kita sentiasa mempunyai pilihan, kita sahaja yang tidak nampak kerana sibuk memikirkan konflik yang melanda akhirnya menemui jalan kebuntuan lalu membawa kepada kegagalan dan kekecewaan.
Ibaratkan ada banyak pintu bilik di hadapan kita, kita tak tahu dan tidak pasti.. pintu bilik mana yang kita nak masuk. Adakalanya kita tersesat masuk pintu bilik lalu kita terkunci dari luar.
Jika anda tidak berusaha mencari jalan keluar, maka anda akan terus terperangkap dalam bilik itu selama-lamanya.
Carilah sesuatu dalam bilik itu yang akan membebaskan anda. Pasti ada sesuatu yang anda boleh gunakan sebagai jalan keluar untuk anda dari bilik itu.
Pilihah untuk menemui kebahagiaan dan jangan memilih untuk sengsara. Semua pilihan terletak dalam tangan anda. Orang lain tidak akan memilih untuk anda. Pilihlah kebahagiaan dan pilihlah untuk sentiasa berjaya.
-Artikel iluvislam.com

No comments:

Post a Comment